PEMBELAJARAN CODING DI SEKOLAH





Sejak kebelakangan ini timbul beberapa cadangan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pembelajaran berkaitan coding kepada murid. Sebenarnya KPM telah pun memperkenalkan coding atau pengekodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).


Usaha ini dilaksanakan bagi menyediakan murid yang mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah menggunakan coding atau kod arahan dalam bahasa pengaturcaraan.


Usaha memperkenalkan coding ini telah bermula secara berperingkat di mana pada tahun 2016, ia diperkenalkan kepada murid Tahun 6 melalui mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


Di bawah KSSR Semakan 2017, mulai tahun 2020 murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) bakal mempelajari coding dalam mata pelajaran baharu iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).


Di dalam mata pelajaran ini, coding menjadi kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid untuk diaplikasikan dalam komponen robotik serta produk berasaskan Internet of Things (IoT).


Di bawah pelaksanaan KSSM peringkat menengah rendah Tingkatan 1 hingga 3, coding di ajar sejak tahun 2017 melalui mata pelajaran Asas Sains Komputer (ASK) dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Murid diberikan pilihan untuk mengikuti salah satu daripada mata pelajaran berkenaan.


Coding dalam RBT diaplikasikan dalam bidang elektronik dan mekatronik yang mempunyai elemen robotik serta produk yang berkaitan dengan IoT melalui penggunaan micro-controller. Manakala coding dalam ASK memberi fokus kepada penggunaan pelbagai bahasa pengaturcaraan seperti Scratch, HTML dan Phyton.


Pentaksiran bagi mata pelajaran ini dilaksanakan berasaskan projek dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).


Di peringkat menengah atas pula, sejak tahun 2017, murid di Tingkatan 4 dan 5 diberi peluang untuk terus mempelajari coding dalam mata pelajaran Sains Komputer, Reka Cipta atau mata pelajaran yang berkaitan dengan kejuruteraan dan vokasional sebagai mata pelajaran elektif SPM.


Dalam aspek latihan guru pula, KPM sentiasa memastikan ia mematuhi kualiti ditetapkan dan KPM menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) bagi tujuan ini.


Mata pelajaran ini diperkukuhkan lagi dengan penglibatan murid dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, menyertai pertandingan yang diadakan di peringkat dalam dan luar negara dan juga mengikuti program di pusat Digital Maker Hub anjuran MDeC.


KPM kini dalam rangka berterusan untuk memantapkan aspek pembelajaran coding dalam setiap mata pelajaran yang dijelaskan ini. Kita yakin melalui penekanan khusus yang diberikan terhadap ilmu sains komputer seperti ini, kita bakal memiliki kelompok bakat berkualiti yang mampu membantu negara mencapai tahap sebuah negara berteknologi tinggi.

No comments:

Post a Comment