KISAH KAKI KIRI




Untuk mencapai sesuatu matlamat dan kejayaan, kena yakin pada kebolehan diri sendiri. Tanamkan keyakinan yang aku juga boleh buat. Ya, kalau orang lain boleh, aku juga boleh, Allah sudah lengkapkan manusia dengan kebolehan masing-masing, hanya kita yang kena cari dan asah kebolehan tersebut.
.
Ada satu cerita, tidak lama dahulu ada seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan dengan masalah palsi serebrum (berkaitan dengan otak). Keluarganya bukan orang berada atau senang. Ayahnya seorang penurap bata, ibunya pula seorang suri rumah. Beliau ada 13 orang adik beradik, dan beliau adalah anak keenam. Beliau berjaya memenangi pertandingan lukisan kanak-kanak pada usia 12 tahun. Beliau juga pernah mencipta sejarah sebagai penulis, penyajak dan pelukis tersohor.
.
Kisahnya bermula apabila beliau dilahirkan sebagai bayi yang mengalami kecacatan palsi serebrum (otak). Doktor memberitahu ibu bapanya bahawa masa depan bayi berkenaan gelap kerana teruknya kecacatan yang dialami oleh budak tersebut. Tetapi ibunya membantah dan tidak percaya. Ibunya berkata "Hanya badan anak saya yang tidak berfungsi, bukan mindanya." 
.
Budak ini tadi, tidak boleh mengawal percakapan mahupun pergerakan tubuh badannya. Satu-satunya bahagian badan yang dia boleh gerakkan sendiri adalah kaki kirinya.
.
Satu hari, budak ini menggunakan kaki kirinya untuk mencapai sebatang kapur dan menconteng lantai. Sejak itulah ibunya berazam untuk mula melatihnya membaca dan menulis dengan bersungguh-sungguh.
.
Hari demi hari, nampak perubahan pada budak tersebut, kebolehannya semakin bertambah dan sangat baik. Tetapi bukanlah perkara mudah untuk ibunya  mengajarnya membaca dan menulis, segala kesukaran ditempuhi dengan berbekalkan semangat dan keyakinan diri yang tinggi.
.
Budak yang saya ceritakan diatas adalah Christy Brown, sepanjang hidupnya, dia berjaya menghasilkan beberapa buah buku, lukisan dan sajak serta memenangi hati ramai orang. Hanya dengan menggunakan kaki kirinya beliau berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil untuk berjaya dalam hidup. Buku beliau yang paling terkenal adalah bertajuk My Left Foot.
.
Teruskan usaha, jangan mudah mengalah, berikan sokongan, dorongan dan motivasi kepada sesiapa sahaja untuk sama-sama mencapai harapan dan impian. Kesusahan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk berjaya. Kekurangan diri bukan untuk ditangisi. Tetapi carilah kelebihan diri, perkuatkan diri. Percayalah, peluang dan kejayaan sentiasa ada dan terbuka didepan mata.
.
Muhammad Ali Pasya, seorang pemerintah Mesir pernah berkata, " Peluang datang dengan tiba-tiba dan pergi pun dengan tiba-tiba pula. Orang yang berani menangkap peluang itulah yang sanggup menciptakan kejayaan/perkejaan yang besar".
.
.
.
Cikgu Salman
12 April 2020

No comments:

Post a Comment